Monday, September 1, 2008

ATLET KENA CABUL

ARKIB : 27/08/2008
Atlet kena cabul
KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) semalam mengesahkan terdapat beberapa atlet wanita negara turut menjadi mangsa cabul seorang pegawai Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) yang dituduh cuba mencabul seorang pegawai perhubungan (LO) penganjur Kejohanan Terbuka Taiwan Mei lalu.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar) mendedahkan, pihaknya juga ada menerima laporan pegawai yang disyaki itu pernah melakukan perkara yang tidak senonoh tersebut kepada atlet-atlet negara.
“Selepas menerima laporan mengenai kes pencabulan pegawai KOAM itu, siasatan awal MSN juga mendapati pegawai ini pernah melakukan kes pencabulan terhadap atlet negara sebelum ini.
“Malah, ada seorang atlet telah mengesahkan dia turut dicabul oleh pegawai itu dan akan berjumpa dengan saya.
“Sehubungan itu, saya berharap agar atlet lain yang pernah dianiayai oleh pegawai itu supaya membuat laporan segera kepada MSN.
“Jika mereka takut untuk tampil membuat laporan, dia boleh berjumpa dengan saya secara terus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan enam atlet olahraga kebangsaan negara telah membuat aduan kepada MSN mengenai sikap tidak bermoral seorang pegawai KOAM yang didakwa cuba mencabul seorang LO di Kejohanan Terbuka Taiwan, Mei lalu.
Surat aduan yang ditandatangani oleh Roslinda Samsu, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Tan Song Hwa, Yap Jen Tzan, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Siti Fatimah Mohamad itu mendakwa pegawai KOAM itu memanggil LO tersebut ke biliknya untuk membincangkan berkaitan tugasan, namun pegawai itu didakwa cuba melakukan perkara yang tidak bermoral terhadap LO tersebut.
Sebelum ini komuniti sukan negara pernah digemparkan oleh kes pencabulan dua atlet bawah umur yang dilakukan oleh bekas jurulatih olahraga negara, C. Ramanathan pada 1992.
Ekoran kes itu, 11 Julai lalu, Ramanathan, 72, mula menjalani hukuman penjara empat tahun yang dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan yang melepaskannya daripada tuduhan mencabul kehormatan dua atlet remaja wanita berusia 15 dan 16 tahun.
Ramanathan didapati bersalah oleh Mahkamah Seksyen pada 8 November 1996 dan dipenjarakan kerana didapati bersalah kerana mencabul atlet remaja di bangunan Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA) Oktober 1992. Kedua-dua hukuman diperintah dijalankan serentak.
Atlet berkenaan, berumur 15 dan 16 tahun, ketika itu sedang menjalani latihan berpusat bagi Kejohanan Olahraga Remaja Asia di New Delhi.
Mengulas lanjut, Zolkples berkata, MSN hanya mengetahui pegawai terbabit pernah melakukan perbuatan terkutuk terhadap atlet setelah pihaknya menerima keterangan daripada KOAM.
“Selepas menerima penjelasan KOAM, MSN mendapati pegawai itu juga pernah mencabul beberapa atlet negara sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap atlet wanita.
Dalam perkembangan berkaitan, Zolkples juga meminta KOAM memberi penjelasan lanjut mengenai kejadian LO yang dilaporkan cuba dicabul oleh pegawai KOAM berkenaan.
Tambah Zolkples, dia juga berharap KOAM dapat menjalankan siasatan dengan seberapa segera dan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai tersebut jika didapati bersalah.
Ditanya adakah seseorang pegawai yang dipilih mengikuti kontinjen atlet negara di satu-satu kejohanan dipilih oleh MSN, beliau berkata, pihaknya tidak terlibat dalam pemilihan pegawai, sebaliknya, ia dipilih sendiri oleh persatuan yang mengikuti kejohanan tersebut.
Sementara itu, Pengurus Besar KOAM, Aminuddin Mohd. Nasir berkata, pihaknya telah melakukan siasatan segera dan satu jawatankuasa hal ehwal wanita KOAM yang diketuai oleh Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar akan menyiasat perkara tersebut dengan kadar segera.
“Jawatankuasa ini akan memanggil pihak yang terlibat untuk memberi kenyataan. Selepas itu, laporan itu akan diserahkan kepada Menteri (Belia dan Sukan) dan Presiden KOAM, Datuk Seri Shahidan Kassim,” katanya.

4 comments:

akbarzahidisports said...

Perkara ini tidak sepatutnya terjadi. Ia pernah terjadi sebelum ini disebabkan sifat hawa nafsu pegawai KOAM sendiri yang bertindak bagaikan tidak mampu mengawal nafsu syahwat.

akbarzahidisports said...

Atlet sendiri terutamanya atlet wanita hendaklah mengawal cara pemakaian supaya tidak dipandang serong oleh sesetengah masyarakat. Bergelar atlet bukan bermakna kita akan terlepas dengan cara penutupan aurat yang disyariatkan oleh Islam.

akbarzahidisports said...

Jangan anggap atlit wanita yang menonjolkan otot tidak akan menaikkan nafsu syaiwat untuk lelaki. Atlet sendiri perlu tahu cara menyesuaikan cara pemakaian di dalam mahupun di luar stadium. Atlet wanita tetap wanita biasa seperti orang lain.

Amar said...

Akbar abang nak tanya macamana denga kita punya presentation nanti pasal Sport Sponsorship...please update with me okey...